Monday, February 22, 2016

Parti politik ibarat berniaga

Parti politik ibarat berniaga – Khairul Anuar Md Idris
Published: 17 February 2016 5:51 PM
Orang politik hari ini mempunyai sindrom perasan. Mereka yang duduk dalam dunia politik merasakan perjuangan mereka adalah benar dan rakyat harus mengikut mereka. Rakyat yang tidak bersama perjuangan mereka atau menyokong mereka dicemuh, dilabel dan dihukum.
Lebih teruk ada parti politik yang mendakwa mereka utusan Tuhan dan penegak agama yang hakiki. Rakyat yang tidak bersependapat dengan mereka digelar calon neraka, menentang Islam dan munafik.
Dengan berbekalkan beberapa ahli berserban dalam parti mereka, mereka menyatakan inilah parti yang benar. Ditambah pula dengan beberapa ayat Al-Quran yang dihurai mengikut kehendak dan kepentingan mereka, parti mereka ibarat suci.
Orang politik perlu sedar, parti politik ibarat berniaga. Peniaga tidak boleh memaksa pengguna membeli produk mereka tetapi mereka terpaksa menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik kemudian terpulang kepada pengguna untuk memilih produk mana terbaik.
Begitu juga orang politik. Mereka perlu menawarkan khidmat yang terbaik untuk rakyat supaya rakyat dapat memilih parti mana yang terbaik untuk menguruskan harta negara. Sentimen perkauman sempit dan penyalahgunaan ayat Al-Quran sebagai modal politik tidak perlu. Adalah sama keadaan sekiranya peniaga menyatakan produk mereka yang diutuskan Tuhan dan rakyat wajib membelinya.
Orang politik perlu memenangi hati rakyat dengan khidmat yang terbaik, mengajak rakyat dengan bahasa yang baik, menunjukkan akhlak yang baik. Rakyat tidak boleh dihukum tetapi diterangkan kerana hakikat akhirnya, orang politik tetap mahukan undi daripada rakyat. – 17 Februari, 2016.

No comments:

Post a Comment

sila la tinggalkan sikit coretan anda

Ahli Fan's Club