Monday, February 22, 2016

Cina, india, melayu... Mari hidup aman.

Jom hidup aman

Malaysia sebagai sebuah negara yang majoritinya orang melayu, perlu menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum. Sejak kehadiran penjajah di Tanah Melayu, orang cina dari China dan orang india dari India telah dibawa masuk. Kehadiran kaum cina dan india di tanah Melayu ketika itu adalah demi memudahkan urusan penjajah merompak harta yang tersimpan di dalam perut bumi bertuah ini. 

Orang cina yang tinggal di Malaysia telah terputus hubungan dengan keluarga mereka di China, begitu juga orang india. Mereka tidak lagi merasakan perlu untuk pulang ke tanah asal usul mereka. Mereka kini menganggap Malaysia sebagai negara mereka sendiri kerana di sinilah mereka mencari rezeki, di sinilah mereka bersosial, di sinilah mereka mengakhirkan hidup mereka. Malah kewujudan mereka di sini telah di akui dalam perlembagaan Malaysia sebagai warganegara yang sah. 

Orang cina dan india yang datang ke tanah melayu ketika itu telah merubah sistem politik negara di mana Tanah Melayu yang dulunya di diami oleh orang Melayu hampir 95% kini terpaksa berkongsi dengan masyarakat Cina  dan India. Walaupun perlembagaan Malaysia mengakui mereka adalah warganegara yang sah, namun dari sudut perhubungan sosial dengan masyarakat asal dilihat masih jauh terpisah. Melayu mendominasi kawasan kampung, manakala Cina dan India menguasai kawasan-kawasan bandar. Ia bukanlah sosiomasyarakat yang di rancang, tetapi ia bersifat semula jadi. 

Oleh kerana kaum-kaum di Malaysia terpisah dan terasing maka pasti akan wujud permasalahan antara kaum. Hal ini bukan berlaku di Malaysia sahaja, malah berlaku di seluruh dunia. Masyarkat yang hidupnya terpisah akan mudah timbul masalah perkauman. 

Masalah perkauman wujud kerana di dalam hati masyarakat Melayu masih menyimpan perasaan bahawa masyarakat Cina dan India adalah pendatang, dan mereka perlu di halau pulang ke tanah air mereka. Sedangkan perkara itu mustahil untuk berlaku. Dari segi lojiknya sudah tidak lojik, dari segi perundangan pula mereka tidak boleh di halau. Hal ini kerana perlembagaan negara telah mengisytiharkan mereka sebahagian daripada rakyat Malaysia. 

Oleh sebab yang demikian, orang Melayu khususnya perlu memahami situasi yang berlaku di Malaysia secara menyeluruh. Masyarakat cina dan india bukan lagi pendatang tetapi mereka adalah sebagaian daripada Malaysia. Isu halau mereka ke negara asal perlu dibuang dalam diri. Orang melayu perlu belajar menerima mereka sebagai darah daging sendiri. Melayani mereka bukan sebagai pendatang tetapi sebagai sahabat, ahli keluarga dan masyarakat Malaysia. 

Persengketaan yang sia-sia perlu ditamatkan, walau darah mengalir, walau nyawa melayang, persengketaan ini tidak akan berhasil apa-apa. Mulai belajar hidup bersama, mulai belajar saling mengenali, belajar saling mencintai. 

Silaturahim ini jika ingin diwujudkan perlukan satu gerakan secara bersama. Ia tidak boleh berlaku sekiranya salah satu pihak mahu menunjukkan ego masing-masing. Ia juga bukan perkara mudah, pasti akan ada tangan-tangan "syaitan" yang akan cuba mengagalkannya demi kepentingan peribadi dan sentimen perkauman sempit. 

Cukuplah kita bermusuh, cukuplah kita berbalah. Marilah kita hidup aman, dan damai. Yakinlah setiap agama yang ada, islam, Kristian, budha atau hindu mengajarkan kita supaya hidup dengan aman, elakkan pergaduhan serta saling sayang menyayangi. 

Apa yang perlu dilakukan sekarang bukanlah mencari punca untuk menjarakkan hubungan sebaliknya mencari titik persamaan bagi mengukuhkan lagi perhubungan. Rakyat Malaysia perlu menamatkan persengketaan yang telah lama wujud. Mula mengenali antara satu sama lain, mula memahami keperluan yang berbeza, bersama-sama membangunkan negara. 

Malaysia bukan milik melayu, bukan milik cina dan bukan milik mana-mana kaum. Tetapi Malaysia adalah milik kita semua. Miliki dan hargai Malaysia. Bersama membangunkan negara agar menjadi sebuah negara yang aman, maju dan berjaya. 

No comments:

Post a Comment

sila la tinggalkan sikit coretan anda

Ahli Fan's Club