Monday, February 8, 2016

Baik buruk bukan kerna bangsa.

Dalam mana-mana agama, dalam mana-mana bangsa sekalipun akan ada orang baik dan ada orang jahat. Orang yang baik pada mulanya mungkin jahat dikemudian hari, orang yang jahat pada awalnya mungkin baik akhirnya. Begitu sifat makhluk yang bernama manusia.

Allah menciptakan setiap manusia itu 2 perkara iaitu akal dan nafsu. Allah tidak menciptakan Malaikat dengan nafsu, dan juga tidak menciptakan binatang itu dengan akal. Seorang manusia jika di baik, di lebih mulia dari Malaikat tetapi jika dia jahat dia lebih hina dari seekor binatang. Akal yang diberi adalah bertujuan untuk seimbangkan nafsu manusia.

Manusia diciptakan dari kaum yang berbeza. Di Malaysia sahaja lebih daripada 10 kaum menghuni di dalamnya. Dalam setiap bangsa pula terdiri daripada pelbagai karektor. Tidak ada satu bangsa pun yang tidak mempunyai orang baik dan tidak ada satu bangsa pun yang tidak menghasilkan orang jahat. Baik dan jahat seseorang itu bukan dipengaruhi oleh bangsa dan keturunan tetapi ia dipengaruhi oleh nafsu dan akal.

Hari ini ada pihak mendakwa bangsa mereka lebih mulia berbanding bangsa lain. Sebagai contoh bangsa Yahudi yang menganggap bangsa mereka lebih mulia sehingga mereka menolak kerasulan Nabi Muhammad hanya kerana nabi Muhammad bukan dari bangsa dan kaum mereka.

Masalah ini bukan hanya berlaku kepada bangsa Yahudi malah berlaku dalam semua bangsa dengan syarat bangsa itu majoriti dan bangsa itu punya pengaruh yang kuat. Di Malaysia orang Melayu merupakan masyarakat majoriti. Faktor majoriti ini telah menjadikan sesetengah atau lebih daripada separuh orang Melayu berfikir mereka adalah bangsa yang sangat baik berbanding dengan bangsa lain. Keadaan ini menyebabkan mereka secara terang melakukan provokasi, menghina bangsa lain kerana mereka tahu jumlah mereka adalah ramai dan pengaruh mereka kuat.

Nafsu akan menguasai akal yang kurang waras mendesak pelbagai tindakan negatif di ambil seperti provokasi, hina menghina, bakar rumah ibadat, ancaman keselamatan dan sebagainya. Namun semua ini bukan berpunca kerana mereka adalah Melayu, tetapi berpunca daripada hati yang telah dikuasai oleh nafsu. Ia berlaku dalam mana-mana bangsa.

Oleh itu, untuk menyatakan bahawa Melayu itu jahat, atau melayu itu rasis adalah tidak adil sama sekali kerana tindakan seseorang tidak boleh dikaitkan dengan apa bangsanya. Begitu juga dalam bangsa cina yang dikatakan suka menipu dalam perniagaan. Ia satu tuduhan yang terlalu umum. Tidak dinafikan bahawa ada cina yang menipu dalam perniagaan, tetapi masih ramai cina yang jujur dalam perniagaan. Jangan kerana seorang cina menipu, maka di salahkan seluruh keturunannya. Ia tidak adil dan agama tidak mendidik manusia begitu.

Orang Melayu, cina, india atau apa bangsa sekalipun perlu mengelakkan diri daripada bersifat perkauman. Belajar untuk hidup bersama, bekerja bersama dan maju bersama. Tekad kita bukan untuk melihat ada satu bangsa sahaja wujud kerana ia adalah ketentuan Tuhan yang mencipta,tetapi tekad kita ialah bersama maju, bersama hidup aman dan sentosa.


No comments:

Post a Comment

sila la tinggalkan sikit coretan anda

Ahli Fan's Club