Monday, January 25, 2016

Buku manual untuk manusia

Allah adalah Tuhan yang mencipta alam ini, yang menjadikan setiap zarah dengan fungsi-fungsinya yang tersendiri. Tiada satu zarah pun diluar kendalian Allah. Sebaik-baik ciptaan adalah manusia.

Manusia perlukan panduan. Panduan bagaimana untuk hidup seperti mana kehendakNya, panduan untuk manusia itu supaya tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan diri sendiri. Panduan yang disediakan bukanlah untuk pencipta, tetapi untuk manusia itu sendiri. Seperti mana kereta yang dicipta oleh manusia, ada panduan penggunaan yang mana panduan itu harus di ikut supaya kereta tidak rosak dan boleh berfungsi dengan baik. Panduan yang disediakan oleh Allah untuk umat manusia ialah Al Quran.

Di dalam al Quran terdapat perkara yang diarahkan untuk dilaksanakan seperti solat, puasa dan zakat. Di dalam al Quran juga terdapat perkara yang dilarang untuk dilakukan seperti membunuh, berzina dan mencuri harta orang lain. Setiap apa yang diarahkan oleh Allah sama ada arahan wajib ataupun sunat semuanya memberi pulangan yang baik kepada manusia. Begitu juga larangan, Allah melarang melakukan sesuatu dengan sebab. Seperti larangan minum arak yang akan menyebabkan manusia hilang akal dan boleh membahayakan diri manusia itu sendiri dan juga orang lain. Jadi apakah kesan jika manusia tidak mengikuti arahan dan melanggar larangan tersebut kepada Allah? Jawapannya tiada apa kesan pun. Malah manusia akan dipersoal di akhirat kelak akan perbuatan mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment

sila la tinggalkan sikit coretan anda

Ahli Fan's Club