Friday, September 26, 2014

Kebenaran berdasarkan dalil

KEBENARAN adalah bergantung kepada nas dan juga dalil. Barang siapa yang bersama dengan dalil daripada al-Quran dan as-Sunnah, maka dia berada di atas kebenaran. Sesiapa yang tidak, sekiranya dia mujtahid maka dia mendapat ganjaran walaupun ijtihadnya salah.
Namun orang awam dan penuntut ilmu tidak boleh meletakkan kaedah ini kepada diri sendiri kerana kita bukan mujtahid, yakni kita tidak mampu berijtihad. Seseorang yang tidak mampu berijtihad tidak boleh melakukan sesuatu atau memilih sesuatu pendapat yang digemarinya dengan alasan sudah biasa buat atau memilih pendapat yang mudah.
Bagi orang awam, amal ibadah dan fatwa-fatwa yang diikutinya harus kembali kepada orang yang memberikan fatwa kepadanya, sama ada mufti di tempatnya, atau ustaz yang mengajarnya, dan dia perlu menilai dan membandingkan kekuatan dalil dan nas yang dikemukakan kepadanya.
Tidak ada alasan bagi seseorang itu menolak sesuatu hujah kerana bercanggah dengan kehendak atau kebiasaan, apabila dia telah mendengar keterangan dan dalil dari al-Quran dan as-Sunnah. “Apabila seorang hakim berijtihad, lalu dia benar, dia memperoleh dua pahala. Dan jika seorang hakim berijtihad, dan ternyata ijtihadnya salah, dia mendapat satu pahala.” (riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Adapun sebagai orang awam apabila melihat sesuatu yang diperselisihkan, tidak boleh baginya memilih mana-mana pendapat daripadanya atau menerima kesemua pendapat atas alasan ia perkara khilaf dan perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu yang diiktiraf. Hal ini tidak dibenarkan kerana kebenaran hanya satu, yakni yang paling tepat dengan dalil al-Quran, hadis, dan kefahaman para generasi soleh terdahulu.
Al-Imam Asy-Syaukani ketika itu masih belum popular lagi, tetapi beliau telah melihat satu kesilapan yang besar dilakukan oleh ilmuwan pada zamannya. Jadi beliau menulis untuk menegur kesilapan tokoh besar pada zamannya dan menekankan bahawasanya kebenaran itu adalah yang bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Walaupun hanya seorang sahaja yang berada di atasnya, kerana kebenaran itu tidak bergantung kepada jumlah.
Maka kita semua harus berhati-hati dalam menilai apakah sesuatu itu benar ataupun tidak. Pada masa ini ceramah-ceramah banyak dimuat naik di YouTube. Ada segelintir orang awam memilih guru dengan melihat pada viewer yang paling banyak, mereka tidak melihat lagi kepada apa isi kandungan diajar dan disampaikan. Sewajarnya kebenaran dan agama itu tidak bergantung pada gaya cerita atau penyampaian seseorang, tetapi harus bergantung kepada nas-nas yang dikemukakan.
Suatu ketika dahulu, kelaskelas pengajian ilmu yang dipenuhi dengan penjelasan-penjelasan ilmiah merupakan kelas pengajian ilmu yang sangat diminati. Bahkan orang berlumba-lumba dan sanggup berebut-rebut meminta izin untuk memasuki kelas pengajian seumpama itu kerana gurunya memilih anak murid.
Sebaliknya apa berlaku pada zaman sekarang, murid yang memilih guru. Apabila anak murid memilih guru, mereka memilih guru yang ‘menarik’ dan ‘menghiburkan’.
Dulu tidak begitu. Imam Syafii dulu sebelum berguru dengan Imam Malik sampai beliau mendapatkan surat sokongan daripada pemerintah, kerana Imam Malik sangat tegas dalam memilih anak muridnya agar menghasilkan anak murid yang semuanya berkualiti. Maka tidak hairanlah imam-imam terdahulu menghasilkan anak-anak murid yang semuanya hebat dari segi ilmunya.
Adapun kita hari ini mengajar merata tempat, siapa sahaja anak murid kita yang menyerlah dari sudut keilmuannya. Adapun dari sudut pandai bercakap dan pandai mengulas memang ramai, tetapi jarang dijumpai yang menyerlah dari sudut penguasaan ilmu.
Ini kerana pada masa kini ramai yang suka pada cerita dan tidak suka pada ilmu. Bahkan yang diingati di dalam kuliahkuliah adalah cerita-cerita yang ustaz sampaikan, bukan dalil-dalil dan hujah ustaz sampaikan. Seolah-olah kita lupa bahawa hala tuju kita adalah mengambil dan memetik dasar serta usul agama iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Adapun cerita-cerita hanyalah perkara sampingan yang membantu kita memahami bagaimana cara mempraktikkan nas tersebut dalam kehidupan seharian. Kalau kita tidak berusaha untuk melakukan perubahan, mengembalikan masyarakat kepada kecintaan ilmu yang sebenar, maka hal ini akan menimbulkan masalah yang sangat besar.
Kebenaran itu disandarkan kepada AlQuran dan hadis sahih. Bukan kata kata ulama. Imam syafie rahimahullah (wafat 204-H), dengan tegas mengatakan bahawa jika ada dalil daripada hadis Rasulullah saw mengenai sesuatu hukum ataupun pandangan, Maka dahulukan hadis. 

No comments:

Post a Comment

sila la tinggalkan sikit coretan anda

Ahli Fan's Club